RSS

MARBLED CHOCOLATE CHEESECAKE

Part A:

185 g butter

¼ cup cocoa

1 cup caster sugar

2 eggs

1 cup self-raising flour

Part B:

250 g Philadelphia cream cheese

1/3 cup caster sugar

1 tsp vanilla

1 egg

Method:

Part A:

· Melt butter and cocoa together (stir under slow fire)

· Remove from heat

· Whisk in sugar and eggs

· Add flour and beat until smooth

Part B:

· Beat cheese, sugar, egg and vanilla together until smooth

Pour Part A and Part B in a baking tin and swirl through for the marble effect. Bake at 180oC for 40 min

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

Bingkisan Buat Suraya

Assalamualaikum wbt,

Segala himpunan puji-pujian hanyalah untuk Allah swt, Rabb sekalian alam. Selawat dan salam untuk junjungan besar baginda Rasulullah SAW, ahli keluarganya, barisan para sahabat seterusnya pejuang-pejuang ad deen yang telah syahid dan juga yang masih dalam perjalanan menuju syahid.

Suraya yang diingati,

Entah berapa kali, komputer ribaku di renjis air mata sendiri. Setiap kali aku ingin memulakan warkah ini, sedih menyelubungi hati. Kenangan demi kenangan datang menerjah ke fikiran dan mengganggu hajatku ingin menulis kepadamu. Apakhabar dirimu sekarang? Emm...sudah tentu sedikit sebanyak aku mengetahui juga...sering kali tulisanmu muncul di beberapa majalah terkenal tanahair dan adakalanya engkau muncul di kaca televisyen. Apakhabar Anuar? Apakhabar juga putera-puterimu, Aiman dan Sakinah?

Suraya yang dikasihi fillah,

Hebatnya perasaan rinduku padamu, hanya Allah yang lebih mengetahui. Terlalu lama kita dipisahkan oleh keadaan dan masa. Syukur! akhirnya dapat juga aku menjejaki alamat ‘e-mail’mu ini. Bukan aku ingin bercerita tentang perkara lepas yang telah lama berlalu, cuma aku perlu memberitahu padamu apa perkara sebenarnya yang telah berlaku, agar tiada rasa hati, tiada rasa buruk sangka sesama kita. Sekurang-kurangnya aku ingin engkau tahu, bahawa aku bukan perampas kebahagiaanmu.....

Su,

Izuddin, pelajar kejuruteraan kacukan melayu-cina itu memang menjadi rebutan ramai. Orangnya warak dan sentiasa menjadi perhatian di kampus. Ya, namun didikan iman yang sama-sama kita lalui dari MRSM lagi tidak memungkinkan kita juga seperti orang lain yang berebut-rebut ingin mendampinginya. Apatah lagi sifat peramah dan mesranya di bilik MPP menyebabkan ramai juga yang terperasan! Aku yang berkulit gelap tapi manis ini, tidak pernah sekali pun termimpi untuk bergandingan dengannya. Aku selalu juga perasan, sesekali Izuddin mencuri pandang kearahmu semasa mesyuarat di jalankan...dan sekali lagi didikan iman menjadi benteng agar kita tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan melainkan atas tuntutan yang perlu.

Su yang dirindui...

Hampir 11 tahun sudah kita tidak bertemu. Rajukmu panjang! Marahmu tanpa sebab! Begitu mudah Su, engkau meminggirkan aku dari kamus hidupmu. Namun, aku kenal hati budimu Suraya. Sejak di tingkatan 1, kita mula kenal dan terus rapat, sehinggalah gelaran pelajar terbaik SPM tahun 1991 sama-sama kita rangkul. Engkau ingat lagi dengan Mr Tan? Guru fizik yang sentiasa menjadi bahan ketawa kita, ya... lah seluar ala 70 annya itu sering menjadi gurauan kita. Ingat lagi dengan gerai Mak Ngah Bedah di luar pintu maktab? Masih aku terasa kesedapan cendol pulutnya itu! Ada lagikah warungnya itu? Entahlah... aku pun sudah begitu lama tidak ke Perlis. Yang penting, engkau masih cantik menawan seperti dulu, berseri-seri wajahmu muncul di kaca TV, sayangnya gayamu sudah jauh berubah. Bertuah Anuar! Tahniah juga untuk pengajian PHD yang baru engkau selesaikan. Ya, seperti yang kita impikan bersama-sama dahulu, semasa mengulangkaji di bawah pohon ketapang sebelah kantin maktab. Sekali lagi tahniah, Dr Suraya bt Dato’ Manan.

Su,

Selepas berita pertunanganku tersebar luas di kampus, aku begitu tertekan. Entah siapa yang bawa mulut. Aku menangis, aku sedih tiada siapa yang tahu. Fikiranku betul-betul terganggu. Engkau melarikan diri langsung dariku. Aku berusaha untuk menerangkan kedudukan yang sebenarnya, tapi Allah tidak memberi aku ruang untuk aku bersemuka denganmu. Engkau terus menyembunyikan diri dariku. Di manakah rasa mahabbah, rasa ukhuwah yang selama ini kita bina? Su, aku bertunang dengan Izuddin atas perancangan keluarga, kami sendiri tidak pernah tahu menahu. Izuddin yang semasa itu telah berada di UK untuk menyambung pelajaran, hanya menurut sahaja pilihan ibu dan ayahnya. Namun akulah lilin yang membakar diri...aku terima ini sebagai ketentuan dan ujian dari Ilahi. Aku terpaksa menurut desakan keluarga, walaupun aku telah berusaha untuk lari dari ikatan itu, namun aku tidak mampu Su... dan tidak mungkin aku menderhakai ibu dan ayahku...

Su,

Keputusan peperiksaan semester akhir, menghadiahkan aku 2E untuk subjek teras program, yang memaksa aku untuk berhadapan dengan semester tambahan. Masa itu engkau sudah terlalu jauh dariku! Di program-program usrah juga engkau tidak lagi ku temui. Walaupun aku tahu engkau menyambung pengajian sarjana di kampus yang sama. Semester tambahan ku lalui dengan tabah! Bersendirian di tasik ilmu, aku gunakan sebaiknya untuk menebus kesilapan. Aku perlu bangun, tidak mungkin aku mensia-siakan pengajianku ini, walaupun lewat setahun dari tempoh sebenar, ku genggam juga akhirnya sekeping kertas yang dinamakan ijazah, kerana kertas itu ada harga dan nilai.

Suraya...

Kebahagiaan, rezeki dan harta semua itu hak mutlak Allah, untuk diagih-agihkan kepada hamba-hambaNya. Sifat Ar Rahman dan Ar RahimNya sentiasa bersama kita. Majlis perkahwinanku berlangsung sejurus selepas aku menamatkan pengajian. Ikatan perniagaan antara keluargaku dan keluarga Izuddin dikuatkan lagi dengan ikatan perkahwinan kami. Bibirku tersenyum, taktala Izuddin menyarungkan sebentuk cincin berlian di dalam upacara membatalkan air sembahyang. Terlalu meriah majlis itu, kegembiraan jelas terbayang di wajah kedua orang tua kami, kaum keluarga dan kawan-kawan yang hadir. Tapi sekali lagi Su...akulah lilin yang membakar diri. Senyuman dibibirku hanya lakonan, hatiku terlalu sedih...kerana perkahwinan ini...aku kehilangan engkau...sahabat yang sama-sama berjuang atas dasar iman dan Islam.

Suraya...

Masa terus berlalu. Aku tidak pernah melupakanmu. Doaku sentiasa mengiringimu. Kita berhajat dan kita merancang, tetapi Su... Allah Maha merancang! Kita akur dengan semua ketetapanNya. Semua yang Allah susun untuk kita bukan secara kebetulan, semuanya ada hikmah yang tersembunyi. Semuanya adalah untuk kebahagiaan dan kebaikan kita. Besar harapanku engkau akan membalas e-mail ku ini. Aku suka dan senang untuk berkongsi kebahagiaanmu di sana. Tentu Aiman dan Sakinah secomel Uminya juga. Aku juga ingin berkongsi ilmu dan cerita...mungkin juga resepi! Rindu aku dengan laksa Johor engkau yang memang sedap! Aku sendirian sahaja di rumah malam ini, Izuddin di rumah isteri keduanya... wassalam.

Sahabatmu...

Nurin Izzati bt Abd Kadir,

Jakarta, Indonesia.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

WAHAI JIWA

Wahai jiwa,

Beruntunglah engkau kerana disapa hidayahNya

Keluarlah dari kesesatanmu

Engkau akan dibantuNya

Wahai jiwa,

Tabahlah dalam mujahadahmu

Keraskan watakmu untuk melawan

Engkau akan ditenangkanNya

Wahai jiwa,

Kuatlah engkau dalam perjuangan ini

Kembara jihadmu baru bermula

Engkau akan diangkatNya

Wahai jiwa,

Segarkan watakmu yang kelelahan

Tambahkan kejituan nekadmu

Engkau akan dimuliakanNya

Wahai jiwa,

Menangislah kerana kejahilan silammu

Penuhi watakmu dengan kebenaran

Engkau akan dimenangkanNya

Wahai Jiwa,

Semarakkan pencarian imanmu

Kayakan watakmu dengan ilmu dan amal

Engkau akan dapati di sanalah kebahagiaan hakiki

Pemburu sejati,

Fatimah Anisah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

KEKASIH YANG SEMAKIN MENJAUH

Oh kekasih yang hadir setahun sekali

Pantas masa berlalu mendebarkan jiwa

Cuba ku kutip semua kebaikan

Sepanjang pertemuan ini

Kehadiranmu kekasih

Menyiram harapan yang tandus

Membasuh jiwa yang kekotoran

Menyegarkan impian yang kelam

Meredakan nafsu yang bergelora

Agar tunduk tetap kepada yang Esa

Wahai kekasih yang dirindui

Pertemuan sepurnama

Terus berlalu

Jangan tinggalkan daku kekasih

Selagi tidak ku genggam

Piala taqwa

Kekasihku bersuara

Aku tetap akan pergi

Jika panjang umurmu

Tahun depan mungkin bersua

Kekasihku bersuara lagi

Jangan jadi hamba Ramadan

Tetapi binalah peribadi rabbani

Kerana zat yang satu

Tidak mungkin meninggalkanmu

Indahnya Ramadan 2010

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

UDANG MASAK TEMPOYAK

Bahan-bahannya:

  1. Setengah kilo udang basah
  2. Tempoyak enam sudu makan
  3. Cili api lima sudu makan (ditumbuk)
  4. Sehelai daun kunyit
  5. Kunyit serbuk atau hidup (sesudu)
  6. Garam dan gula secukupnya

CARA-CARANYA:

Gaul tempoyak, cili api dan kunyit sehingga mesra. Kemudian tenggekkan di atas api yang sederhana perlahan. Setelah menggelegak masukkan udang sehingga masak. Akhir sekali masukkan gula dan garam serta daun kunyit.

SELAMAT MENCUBA!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

PENGEMBARA YANG RESAH

Ramadan memasuki hari ke 8. Pantas masa berlalu meresahkan saya, seorang pengembara yang mengimpikan redha Allah. Dalam suasana kabus iman yang menyelubungi masyarakat, taqwa yang cuba dibina begitu mudah rapuh. Membina taqwa di dalam suasana Islami yang begitu dhaif, amat melelahkan, di tambah pula dengan kelemahan-kelemahan diri yang ada.

"Ya Allah, bimbingilah aku dengan kasihMu. Hiburkan aku dengan sedikit harapan. Kasihanilah diri yang lemah ini Ya Allah. Berilah peluang kepadaku Ya Allah untuk memperbaiki iman dan amal!". Seringkali saya berdoa dan terus berdoa agar Tuhan masih memandang saya dengan rahmatNYA. Sukarnya menjaga taqwa, sedikit meningkat, kemudiaan jatuh dan adakalanya jatuh tersungkur. Seumpama menjunjung bakul yang penuh muatan di atas kepala tanpa memegangnya, terhuyung hayang. Begitulah sukarnya memelihara taqwa.

Seringkali airmata berhampuran keluar tanda kekecewaan bila taqwa terlepas dari diri. Rasa hina dan amat terhina disisi Allah. Rasa hanya dosa dan kesalahan demi kesalahan yang memayungi sepanjang perjalanan hidup, begitulah saya merasainya. Apakah Allah masih memandang jiwa yang penuh dengan dosa dan noda ini? Muka yang berdosa, mata yang berdosa, tangan yang berdosa, kaki yang berdosa? Sukarnya untuk saya menghindari dosa dan kesilapan. Apakah ini gaya hidup manusia beriman dan bertaqwa? Saya bersoal jawab dengan diri sendiri. Malam beramal, siang berdusta atau sebaliknya. Begitu lah silih berganti. Ianya amat mengecewakan saya.

Suasana ramadan yang penuh keberkatan, rahmat dan curahan kasih sayang Allah begitu saya nantikan. Semoga dipanjangkan umur untuk saya melalui ramadan kali ini dengan sebaik yang mungkin. Walaupun telah tewas, harapan saya masih terlalu besar terhadap Allah. Semoga kuat nekad saya untuk terus menghayati Islam sebagai cara hidup tanpa dibelenggu oleh tuntutan nafsu. Sesungguhnya Ramadan mempamirkan kekuatan iman kita yang sebenar kerana syaitan telah dirantai. Yang menggoda dan tergoda itu ialah nafsu dan yang tewas itu adalah diri kita sendiri...

Mak Long Nina
Ramadan 8, 1431

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

KEMAAFAN

A. Nia mempercepatkan langkahnya. Hatinya risau. Dia harus cepat. Nia berlari-lari anak menaiki anak tangga. Jam tepat menunjukkan pukul 1 pagi. Kolej Muhammad Mujahid masih terang benderang. Cahaya bulan dan bintang saling bantu membantu menerangi bumi ini. Indah sungguh ciptaanNya. Cuaca begitu baik menjelang Ramadan ke 17 esok. Malam-malam Ramadan yang telah dilalui terasa sepi dan hambar. “Ahh…akukah yang tewas merebut keberkatan dan menghirup rahmat suci Ramadan?”. Getus Nia di dalam hati. Air mata mengalir deras. “Ya Allah, ruginya mensia-siakan detik keemasan ini….”. Nia menelan pahit kelukaan hatinya.

1. Saum (Puasa) dari perkataan صام bererti menahan maka يصوم bermaksud menahan diri dari kebiasaan melakukan perbuatan dan sikap sia-sia. Sepintas lalu dapatlah difahami bahawa bukanlah puasa itu tertumpu pada isu berlapar sahaja tetapi fokus puasa ialah latihan menahan diri dari menurut kehendak-kehendak liar dan rendah (not belong to Islam). Masih terdengar-dengar penerangan Ustaz Abd Nasir di awal menyambut bulan Ramadan lalu. Bersungguh-sungguh dia memberi penjelasan berkaitan ibadah dan kelebihan di bulan Al Mubarak ini. Aku hanya termenung ...hebat!

B. Nia memberi salam, seraya membuka pintu bilik. Liza berbaring di atas katil sambil membelek-belek majalah kegemarannya. “Eh ! Liza.. tak.. tidur... lagi?” soal Nia dengan suara yang tersekat-sekat. “Nia seharian ke mana?” Liza bertanya malas. Nia membiarkan soalan itu berlalu begitu sahaja, dengan pantas dia memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam beg lantas duduk sebentar di birai katil. Matanya tepat merenung Liza tanpa sebarang suara. “Nia akan bermalam di rumah Kak Misa untuk beberapa hari, masih ada lagi beberapa kertas kerja yang perlu diselesaikan...”. Nia bersuara sambil beredar untuk pergi. Liza hanya mengangguk tanpa suara. Hanya senyum hambar yang mampu diukirkan. Nia pergi entah untuk kali yang ke berapa. Liza kecewa dan beginilah selalu suasana yang berlaku. Liza menutup mukanya dengan bantal lantas menangis. Nia terlalu dingin. Seolah-olah kemesraan lalu hanya tinggal kenangan...!

2. Berlapar hanyalah satu mekanisme sahaja untuk memudahkan seseorang mukmin mengawal diri dari perbuatan dan sikap yang sia-sia. Ini dijelaskan dengan hadis yang bermaksud “Orang yang tidak meninggalkan berbohong dan tetap melakukannya, Allah tidak memerlukannnya untuk meninggalkan makan dan minum” (Bukhari, Muslim). Ustaz Abd Nasir terus menyambung ulasannya. Aku memandang ke arah Liza yang duduk di bahagian tengah, barisan hadapan sekali. Dia begitu asyik membuat catatan di dalam buku nota. Sedang aku datang tanpa sebarang pena dan kertas. Sememangnya aku tiada kesungguhan untuk menyambut bulan bonus untuk menambah amal soleh bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT.

C. Nia termenung di tepi jendela. Suasana pagi terasa amat membosankan. Nia seolah-olah merasakan dia kehilangan dirinya sendiri. Hujan rentik-rentik yang menyelubungi bumi hanya menambah kedinginan hatinya. Kak Misa masih setia di atas sejadah. Al Quran sememangnya juadah rohani terbaik di bulan mulia ini. Nia masih memeluk diri, sweater hijau yang dipakai tidak berjaya memanaskan tubuhnya. Batuk bertalu-talu menemani sepi. Dia benar-benar gelisah. Mimpi malam semalam memaksa Nia berfikir kembali. Ros putih pemberian Liza di taman biru itu menambah resah jiwanya. Liza yang semakin dijauhinya...Liza yang semakin dipinggirkan di dalam persahabatan...Liza yang begitu bersabar sepanjang 10 tahun perkenalan mereka! “Ya Allah, akukah yang tegar dengan keegoanku sendiri”. Nia berbisik di dalam hati. Nia sendiri tidak mengerti mengapa dia masih gagal membuang rasa marahnya pada Liza. Dia cuba mengumpul kekuatan diri, menghimpun doa, namun rasa marah dan geramnya pada Liza begitu sukar dihapuskan. Senyum Liza datang dan pergi di dalam mimpi itu, sambil menghulurkan sejambak ros putih. “Mimpi Cuma mainan tidur!”. Nia memujuk dirinya sendiri. Nia lesu sepanjang hari dan matahari enggan tersenyum pada hari itu.

3. Puasa dalam erti tersebut tentu sekali menjadi satu kesempatan bagi mukmin yang mempunyai sasaran untuk meningkatkan dirinya di sisi Allah. Tingkat di sini bermaksud takwa. Takwa berperanan sebagai pembisik di dalam hati untuk membezakan yang mana buruk dan baik. Yang mana halal dan yang mana haram. Takwalah yang paling berharga bagi mukmin untuk membantunya mengharungi cabaran kehidupan di dunia ini. Di samping mendorongnya melaksanakan tugas-tugas yang ditaklifkan. “Apakah aku insan yang bertakwa?”. Soal Nia pada dirinya sendiri. Adakah insan bertakwa itu tidak berkasih sayang sesama mereka? Adakah insan bertakwa itu menyimpan dendam di sudut hatinya? Raut wajah Ustaz Abd Nasir di lihat bercahaya. Terang!

D. Apakah puasa aku hanya memperolehi lapar dan dahaga sahaja hari ini?”. Nia tertanya-tanya sendiri. Pagi tadi, Nia enggan bangun untuk mengaut keberkatan sahur lantas terus menyambung tidur, walau pun suara Bilal telah jelas kedengaran mengejutkannya untuk solat subuh. Nia tahu jiwanya terlalu lemah di saat ini. Kedinginan tiupan kencang angin La Nina hanya membuatkan Nia tidur, termenung dan menangis. Dia keliru dengan perasaannya sendiri. Mulut Kak Misa seakan terlalu berat untuk bertanya. Dia membiarkan Nia melayan perasaanya sendiri. Hanya Allah yang maha tahu perasaannya kini. Sepanjang bulan Ramadan ini, Nia di landa tekanan perasaan. Bilik asrama dijadikan sebagai hotel sahaja, pulang hanya untuk mengambil nota kuliah dan menukar pakaian. Perhubungannya dengan Liza semakin sepi, semakin renggang dan semakin sukar untuk di mengertikan...sebab dan puncanya? “aah...aku bosan memikirkannya...”, keluh Nia sendiri. Kemanisan ibadah di bulan Ramadan tidak dapat dinikmati, angin suci Ramadan gagal memadamkan kemarahannya pada Liza. Siang dan malam terus berganti, suasana keberkatan Ramadan seakan melambai-lambai agar Nia berbuat sesuatu demi ukhuwah ini, demi Islam dan demi keselamatan di negeri akhirat kelak.

4. “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara” (Al Hujurat : 10). “...sesungguhnya prasangka itu tiada faedahnya sedikit pun bagi kebenaran” (An Najm : 28). Bergetar jiwanya merenung ayat-ayat Al Quran tersebut. Penyataan dan amaran dari Allah itu seakan-akan menyentap urat nadinya. “Akukah yang tewas dengan keegoanku sendiri?”. “Akukah yang berpura-pura dengan Islam?”. Nia terus membuat muhasabah diri...

E. Alhamdulillah. Pujukan dan nasihat lembut Kak Misa berjaya meleraikan kekusutan jiwanya. Semangat jihad baru kini bergelora di dalam jiwa Nia. Imannya segar kembali. Sekali lagi, Segala puji bagi Allah, Rabb sekalian alam. Rasa marah dan egonya lebur bersama sebuah keinsafan. Liza harus ditemui dengan segera. Rindu pada Liza dan saat-saat manis bersama membuatkan Nia tersenyum tersendiri. Liza tidak pernah bersalah dalam hal ini. Nia yang bersangka buruk dan terlalu mengikut perasaan. Nia bersyukur dengan keputusannya kini. Kemaafan dari Liza perlu baginya kini. Nia ingin melupakan perkara remeh temeh yang merosakkan ukhuwah sesama mereka. Nia ingin menghabiskan 10 hari terakhir Ramadan ini dengan memperbaharui iman kepada Allah SWT dan memupuk kembali ikatan ukhuwah yang longgar suatu ketika dahulu.

5. Ramadan bererti “oasis” iaitu satu kawasan hijau di tengah padang pasir. Oleh itu Ramadan diibaratkan sebagai bulan kerehatan penuh barakah untuk memulihkan jiwa yang keletihan atau kecederaan kerana pelbagai mehnah dan fitnah sepanjang tahun. Keberkatan dan keutamaan Ramadan tergambar dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud : “Sesiapa yang berpuasa di dalam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ikhlas dan menghisab (tindakannya) diampunkan dari segala dosa sebelumnya” (Bukhari, Muslim). Tenang dan jernih sahaja air muka Kak Misa semasa memberi sedikit tazkirah di dalam program berbuka puasa, di malam Nuzul Quran yang lalu.

F. Bilik B302, Kolej Proton itu sunyi seolah-olah sudah lama ditinggalkan. Nia cemas!. Dia tertanya-tanya sendiri. “Mana Liza pergi?” soal Nia pada diri sendiri. Nota kecil yang terselit di tepi pintu mendebarkan jiwanya. “Liza di wad kecemasan”. Nia panik. Nafasnya bagaikan tersekat. Nia perlu segera mendapatkan Kak Misa untuk ke hospital. Sebak dan air mata sudah tidak dapat dibendung lagi untuk mengalir. Lara hati Nia hanya Allah yang tahu. Kak Misa memecut kereta ke arah Jalan Kenanga untuk ke hospital. Apakah masih ada peluang untuk pesakit kanser tulang seperti Liza? Hanya Allah penentu segalanya. Kak Misa terharu, Nia di sebelahnya di biarkan menangis sendiri. Mata lesu Liza menggambarkan penderitaan yang ditanggung. Mata dan hati mereka berbicara tanpa suara. Liza mengucup tangan Nia berkali-kali, begitu juga Nia. Tanda kemaafan...ingin bersama seperti dahulu, tetapi masihkan ada kesempatan itu? KetentuanNya telah sampai dan malam Ramadan ke 27 itu menyaksikan Nia kehilangan seorang sahabat yang amat dihormatinya. Sahabat yang telah memperkenalkan dia kepada Islam yang sebenar, sahabat yang telah mengajar dia erti hidup yang sebenar, sahabat yang begitu sabar mendidiknya, sahabat yang telah membuang segala kepentingan dirinya demi sebuah persaudaraan... air mata Nia seakan berhenti mengalir! “Ya Allah, ini ketetapanMu dan semoga kami bertemu kembali di negeri yang abadi nanti”.

6. Pagi subuh 1 Syawal itu, Nia merasakan dirinya seperti manusia baru. Rohaninya segar dan bertenaga walaupun pada hakikatnya ujian yang melanda amat menyentuh hati. Nia tenang di tepi pusara. Wajah sedih dan gembira Liza datang silih berganti...tapi itu cuma kenangan Nia, namun di sebalik kenangan itu tersembunyi seribu hikmah. “Hakikat kehidupan itu adalah kematian dan setiap yang bernyawa itu pasti merasai kematian”. Ustaz Abd Nasir mengulas ayat Al Quran berkaitan dengan kematian 3 bulan yang lepas. Di sinilah punca segala-galanya di mana Liza beria-ia ingin membuat surat wasiat, sedang Nia sering menafikan yang dia akan kehilangan Liza yang sememangnya telah lama mengidap kanser tulang. Semenjak itu rajuk Nia berpanjangan dan perasaan marah menguasai diri. Namun hakikatnya kini Liza telah tiada. Nia memeluk erat Ibu Salmiah yang berada di tepinya. Berkali-kali Ibu menyabar dan menenangkan Nia. Berkali-kali ciuman ibu singgah ke pipi Nia. Nia terharu. Nia yakin Liza pergi bersama kemaafan dan tenang di sana. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

Ramadan Yang di Nanti

Cerah langit pagi 15 Syaaban menceriakan hari. Burung-burung lepas bebas di udara mendamaikan perasaan insan. Udara segar menenangkan jiwa. Seolah-olah bulan penuh keberkahan itu sudah berada dalam genggaman. Ramadan menggamit memori dan perasaan bagi insan yang masih punya impian untuk menjadi hamba rabbani. Semoga kita dipanjangkan umur untuk bertemu di dalam suasana yang penuh rahmat dan keberkatan itu. Bulan Ramadan adalah satu rezeki yang begitu berharga bagi hamba-hambaNya yang ikhlas mendambakan taqwa.

Ramadan begitu simbolik dalam kehidupan seorang muslim. Kedatangannya sentiasa dinanti. Bulan istimewa untuk kerehatan. Secara fizikal perut berehat dari memproses makanan di siang hari. Usus berpeluang untuk bercuti separuh hari. Jiwa turut berehat dari terus melakukan dosa demi dosa. Jiwa yang masih memiliki iman walaupun sebesar biji sawi terasa segan untuk melakukan dosa dalam keadaan berpuasa. Hadis di bawah memberi kita idea bahawa seseorang yang berpuasa akan terhalang dari melakukan dosa.

Baginda Rasulullah saw bersabda, "Puasa adalah perisai. Maka apabila salah seorang diantara kamu sedang berpuasa, janganlah ia berkata-kata kotor dan bersuara kasar.. Jika seseorang mencacinya hendaklah ia menjawab, 'Sesungguhnya aku sedang berpuasa, (dua kali). Demi Dzat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, sungguh bau mulut orang yang sedang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada minyak miski."

Amal ibadah yang dilakukan semata-mata mencari keredhaan Allah akan memberikan kesan yang baik di dalam kehidupan. Kesan puasa yang paling penting untuk kita capai ialah menjadi insan bertaqwa.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”. (Al Baqarah : 183)

Sebagaimana dalam kehidupan setiap projek/kerja yang dijayakan pasti mempunyai objektif yang ingin dicapai. Begitu juga dengan ibadah puasa yang diwajibkan oleh Allah kepada kita, dimana objektifnya adalah untuk mendapatkan ketakwaan. Jika objektif tidak tercapai maka bolehlah kita katakan bahawa ibadah puasa tersebut gagal dalam perlaksaannya. Takwa adalah suatu keperluan kepada mukmin. Takwa adalah bekalan terbaik untuk kita meneruskan perjalanan hidup di dunia yang sementara ini.

Dalam sebuah hadith dari Abu Hurairah RA disebutkan bahawa Rasulullah saw bersabda, "Allah SWT berfirman, 'Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa kerana puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku-lah yang akan membalasnya".

Aduhai teman,begitu lumayan tawaran Allah kepada kita, Dia yang akan membalasnya sendiri. Maka persiapkan dirimu...rebutlah tawaran yang datang cuma sebulan dalam setahun...

Salam Ramadhan Al Mubarak.....

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

AISKRIM DURIAN

Dalam cuaca panas terik alangkah nikmatnya jika dapat membasahkan tekak dengan secawan aiskrim, lebih selesa jika aiskrim tersebut halal dan tidak diragui. Ok, mari cuba resepi ini.

Bahan-bahan:

4 – 5 ulas durian

Susu segar 2 cawan

Gula castor 1 cawan

Krimer 1 ½ cawan

Cara-caranya:

Kisar semua bahan di atas dan bekukan di dalam peti sejuk. Mudah bukan? Selamat mencuba.

P/s : Jika ingin menukar buah kepada buah-buahan seperti tembikai susu, lemon, strawberi atau jagung kuantiti susu segar boleh dikurangkan kepada secawan sahaja. Boleh juga menukar buah dengan serbuk coklat. Wow! Sedapnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

Amanat Untuk Remaja

Adik-adikku

Dunia ini medan tipu daya

Dunia ini medan pembunuhan

Dunia ini medan fitnah menfitnah

Oleh itu

Adik-adikku

Selagi akal waras berfikir

Selagi jiwa boleh merasa

Kuatkan semangatmu, tingkatkan azam

Untuk meniti jalan kebenaran

Adik-adikku

Senyumanmu azimat dihatiku

Kesungguhanmu harapan dijiwaku

Lawanlah arus kejahatan

Dengan keimananmu yang tinggi

Dengan tekadmu yang padu

Adik-adikku

Lihatlah dengan pandanganmu yang jauh

Fikirlah tentang masa depanmu

Binalah keperibadianmu

Agar cemerlang

Agar gemilang

Agar terbilang

Namamu...

Di dunia dan akhirat

Oleh : Nina Susana MA

Peringgit, Melaka.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

KEIKHLASAN DALAM BERAMAL

Keikhlasan bukan suatu bentuk amal tetapi sesuatu yang perlu untuk amal itu diterima. Ini bermakna dalam menjayakan sesuatu amal maka kita perlu melihat samada keikhlasan wujud bersama atau tidak. Keikhlasan lebih payah/berat daripada melakukan amal itu sendiri. Tanpa keikhlasan dalam beramal, maka amal akan terbang seperti debu-debu yang berterbangan. Tiada nilai disisi Allah dan tidak diterima sama sekali.

Sebagai contoh: Seseorang berpuasa sunat. Berpuasa secara fizikal itu mudah. Namun berpuasa ikhlas semata-mata kerana Allah itu adalah sukar. Berpuasa dengan niat lain seperti ingin kurus, menjaga kesihatan, menjimatkan belanja boleh meragukan keikhlasan sipelakunya. Maka berhati-hatilah dalam beramal, takut-takut amal kita tidak diterima.

Rasulullah saw pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak menerima suatu amalan kecuali yang dikerjakan dengan ikhlas dan diharapkan untuk meraih redhaNya.” (HR. An-Nasa’i)

Takutlah kita dengan ancaman Allah swt, bahawa seseorang bakal dihimpunkan dengan apa yang disekutukannya dalam api neraka kelak. Rasullah saw bersabda lagi: “Allah swt berfirman, ‘Aku zat yang paling tidak memerlukan sekutu. Barangsiapa melakukan suatu amalan dan menyekutukan Aku dengan selain-Ku, Aku akan meninggalkannya bersama sekutunya.” (HR. Muslim)

Keikhlasan perlu kepada proses demi proses untuk mendapatkanya. Keikhlasan boleh teruji dengan pelbagai cara. Mungkin pada awalnya kita melakukan amalan tersebut dimulai dengan niat yang betul penuh keikhlasan kepada Allah swt. Namun kepayahan atau kemudahan dalam melalui amalan tersebut boleh menguji keikhlasan seseorang. Sebagai contoh: Seseorang telah berusaha dan berjaya melakukan perubahan dalam membentuk suasana yang lebih islami di tempat kerjanya. Dia dipuji oleh majikannya sehingga dianugerahkan pekerja terbaik. Maka situasi ini sebenarnya boleh menggugat keikhlasannya. Pujian dan pengiktirafan boleh menimbulkan riya’ yang boleh merosakkan keihklasan.

Akhir sekali, marilahlah kita merenung bersama kata-kata ulama’ yang berikut “Ikhlas adalah kondisi ketika seseorang memandang sama antara pujian dan cercaan, antara kesendirian dan keramaian. Ia beramal hanya untuk meraih redha Allah dan didorong oleh kecintaan kepada Allah. Kerananya, ia sentiasa diiringi taufik dan inayah dari Allah, sehingga dapat melakukan berbagai amal kebaikan secara kesinambungan” (Waqfah Tarbawiyah:10)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

Reading Glasses

“Doctor, will I be able to read after I get these glasses?” asked the old lady.

“Oh, certainly,” replied the doctor.

“How marvellous! I could never read before.”

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

SEPI

Siapa tahu makna sepi

Jika tidak melaluinya


Sepi

Kekadang indah

Kerapnya menyakitkan


Sepi

Siapa tahu keindahannya

Tanpa berada didalamnya


Sepi

Disana

Aku pelajari

Hikmah


Sepi

Disini

Aku perolehi

Erti kasih


Sepi

Aku temui pengertian

Nilai keinsanan

Untuk aku memahami

Insan lain

Diluar diriku


Biru Jingga

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

WARKAH AIRMATA

Salam wbt,

Ku tulisi bingkisan sepi ini khas untuk adikku tersayang... segala puji2an hanyalah untuk Allah swt, pengatur alam semester. Dari Dia kita datang dan kepada Dia jua kita akan dikembalikan. Kita beriman kepada dunia yang sedang kita layari hanyalah bersifat sementara dan negeri akhiratlah yang kekal abadi. Selawat dan salam kita hadiahkan untuk junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, barisan para sahabat, seterusnya pejuang2 ad deen yang telah syahid dan masih lagi dalam perjalanan menuju syahid. Berkat usaha gigih yang bermandikan peluh air dan darah, dengan usaha dakwah para rasul maka kita menikmati ISLAM pada hari ini.

Adikku sayang,

Akak rasa perlu untuk akak terus mengingatkan dirimu untuk kesekian kalinya bahawa akak terlalu menyayangi dirimu. Tiba-tiba, zaman kanak-kanak yang pernah kita lalui bersama terbayang-bayang di depan mata akak. Sejak kecil engkaulah satu-satunya insan yang ditaqdirkan oleh Allah wbt yang mempunyai ikatan darah yang sama dengan akak. Betapa akak bangga memiliki engkau sebagai adik, sebagaimana rasa bangga dan mulianya akak dilahir dari rahim ibu kita yang mulia.

Adikku yang dikasihi kerana Allah,

Terlalu tinggi kesyukuran akak kepada Allah wbt, kerana mengurniakan kita ibu dan ayah yang terlalu baik. Walaupun telah terlalu kerap kita melukakan hati mereka, selalu juga mereka merasa malu kerana tindak tanduk kita, namun tidak pernah mereka memarahi apatah lagi menyisihkan kita dari kehidupan mereka. Selalu akak berdoa, jika ada sedikit pahala dari amal2 akak, akak hadiah untuk emak dan ayah....agar hidup mereka berkat dan bahagia dunia dan akhirat.

Adik yang amat akak rindui...

Antara tanda kasih Allah pada hamba2Nya ialah sentiasa menurunkan ujian demi ujian untuk memastikan kita sentiasa datang mengadu dan berharap kepadaNya. Adikku sayang...anggaplah apa yang sedang enko lalui sekarang sebagai ujian Allah. Datanglah kepadaNya dengan penuh rasa kehinaan dan harap. Mohonlah keampunanNya, baikilah cara hidupmu...terutamanya solat, Jagalah sesempurna yang boleh, begitu juga aurat dan pergaulan, jagalah auratmu...kerana aurat yang tertutup rapi tanda kemuliaan seorang wanita.

Al Baqarah : 153 (...wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat...)

Adikku yang mulia...

Banyak kesusahan dan kepayahan hidup di dunia ini telah kita lalui, adakalanya kita saling berbantu sesama kita, namun adikku ingatlah....kesukaran di dunia tidak sama sekali sama dengan kesukaran di akhirat kelak di mana kita tidak mungkin boleh tolong menolong di sana nanti. Hanya amal soleh yang mampu menyelamatkan kita dari azab api neraka Allah. Ingatlah pedih dan sengsaranya neraka tidak sama dengan kesukaran hidup di dunia ini.

Adikku yang dikasihi...

Dalam surah Al Thalaq : 3, Allah telah berfirman yang bermaksud... dan barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya...

Oleh itu adikku marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan merebut kasihNya. Ingatlah adikku...kasih Allah tidak pernah menipu...sedangkan kasih manusia bersebab dan tidak kekal...

Akhir sekali, dengarlah sekali lagi bisikan hati kakakmu ini....aku sentiasa akan berada di sampingmu, berdiri teguh melindungi dan menyayangimu walau bagaimana pun keadaan dirimu... sebagai penutup bingkisan sepi ini, akak sudahi dengan sebuah hadis. Sebenarnya jiwa akak sentiasa sebak dan terharu sepanjang mengarang surat ini, semoga tulisan surat ini dikira sebagai amal soleh di sisi Allah swt.

Rasulullah saw ada bersabda:

“ Amat menakjubkan kehidupan orang-orang mukmin, seluruh urusannya membawa kebaikan. Sekiranya dia mendapat kegembiraan, dia bersyukur maka dia mendapat kebaikan, sekiranya dia ditimpa kesusahan dari ujian dan bencana, dia bersabar maka dia mendapat kebaikan. Keadaan ini tidak ada didalam kehidupan manusia lain kecuali orang-orang mukmin sahaja. ”

Terlalu sayang...Kakakmu

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

Karamel Mak Long

Teristimewa untuk ibu-ibu yang berkerjaya...

Bahan-bahan:

Telur 5 biji

Satu tin susu cair

Setengah tin susu air sejuk

2 – 3 camca makan tepung kastad

Sedikit esen vanila

Untuk toping : 3 camca gula pasir – hanguskan dalam loyang untuk mengukus

Cara-cara:

Telur dan susu dikacau perlahan bersama. Kacau bersama air dan kastad dan kemudian campurkan dengan telur dan susu tadi. Masukkan esen vanila. Akhir sekali pindahkan ke dalam loyang dan kukus selama 45 – 60 minit.

* Untuk dihidangkan, jika rasa kurang manis boleh dimakan bersama susu cair atau gula merah yang telah dicairkan. Selamat mencuba.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

Kembalilah

Apakah engkau punya Hati

Wahai makhluk bergelar manusia

Hari berlalu tanpa amal

Tipu daya resepi kehidupan


Apakah engkau punya Hati

Wahai manusia dimulia Pencipta

Hari berlalu dengan kesombongan

Seolah dunia tiada noktah tamat


Apakah engkau punya Rasa

Wahai insan yang berimpian

Hari berlalu tidakkan datang lagi

Maka kembalilah kepada tujuan


Apakah engkau punya Rasa

Wahai insan yang hakikatnya lemah

Hari berlalu menuju garis penamat

Sebelum terlambat saratkan bekalan


Apakah engkau lupa kiblat

Wahai insan yang punya kesedaran

Hari berlalu masa berputar

Kembalilah menuju Tuhanmu

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

Terrific!


Doctor : I regret to tell you that you have a brain tumor.

Mr Bean : Yesss!!! (jumps with joy)

Doctor : Did you understand what I just told you?

Mr Bean : Yes, of course. Do you think I’m dumb?

Doctor : Then why are you so happy?

Mr Bean : Because that proves that I have a brain!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

Kek Kukus Buah-buahan Oren

Setiap kali memukul margerin dan gula untuk membuat kek, perasaan bahagia menerpa di jiwa. Bersyukur dilahirkan sebagai seorang wanita. Melihat margerin dan gula semakin mesra dan menghasilkan warna putih kekuningan, hati merasa semakin bahagia. Seronok. Sesekali ke dapur untuk memasak.

Gaya hidup yang sibuk dan tinggal berseorangan sebenarnya antara faktor penyebab aku begitu jarang memasak. Ilmu tentang memasak juga amat kurang. Namun yang peliknya aku mempunyai koleksi resepi yang tersimpan rapi di atas rak. Jauh di sudut hati minat memasak dan mencuba resepi baru memang ada, cuma keadaan tidak mengizinkan. Sesekali berpeluang masuk ke dapur, seringkali kek buah, spageti, mee teow goreng basah, jemput-jemput jagung atau roti nan malaysia menjadi pilihan.

Sewaktu mengeluarkan kek dari pengukus hati bertambah girang. Wangi dan begitu menyelerakan. Kembang-kembang lubang hidung menghidu kewangiannya. Emak di sebelah tersenyum simpul. Sementara menunggu kek sejuk, hati agak berdebar. Ini adalah kali keenam aku membuat kek buah. Tiga percubaan pertama kek dibakar di dalam ketuhar pembakar. Pertama kali membuatnya semua buah-buahan berkumpul di bahagian bawah kek, kali kedua membuatnya semua buah-buahan berkumpul pula di bahagian atas. Kali ke ketiga kek kehangusan, tetapi aku tidak ingat di mana buah-buahannya berkumpul. Untuk ketiga-tiga percubaan ini aku mengikut resepi yang layari dari laman web.

Namun begitu aku tidak pernah berputus asa untuk mencuba. Membeli kek buah dengan harga RM50 untuk 1.5 kilogram bagiku begitu merugikan. Berbekalkan kos sebanyak itu aku boleh menyediakan dua biji kek buah seberat lebih kurang 4 kilogram. Di samping puas untuk dinikmati sendiri, aku boleh mengagihkan kepada ahli keluarga, kawan-kawan rapat dan jiran-jiran. Seterusnya aku mencuba resepi yang diberi oleh kawan baik emakku. Alhamdulillah, untuk resepi kali ini kek dikukus dan percubaan pertama dan kedua menjadi, namun emak semacam tidak berpuashati. Komennya, kek aku ‘batat’! Tidak begitu gebu. Emmm...alahai...

Setiap kali emak membuka mulut untuk membuat kek, pilihannya pasti kek planta atau kek oren. Aku akan memasamkan muka. Biasanya aku akan memilih kek buah, kerana ia juga adalah kegemaran ayahku. Namun, selepas mengukus kek buah untuk kali ketiga, emak tersenyum sambil menyuapkan kek ke mulutku, tidak sia-sia emak menyuruhku mengubah sedikit resepi dengan memasukkan satu cawan setengah ‘tepung naik sendiri’ ke dalam resepi asal. Kek bertambah gebu dan sedap.

Sekarang aku berkira-kira untuk mengubah lagi resepi yang ada. Untuk memuaskan hati emak dan ayah. Emak suka kek oren. Ayah suka kek buah. InsyaAllah, akan datang “Kek Kukus Buah-buahan Oren”. Firman Allah SWT : Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibubapa. An-Nisaa’:31

Emak dan ayah begitu istimewa. Sarat jiwaku dengan perasaan kasih yang begitu mendalam terhadap mereka. Berbuat baik dan berbakti kepada kedua-duanya sememang satu tuntutan yang sangat tinggi di dalam Islam. Muslim yang terbuka pintu hatinya sentiasa berusaha menggembirakan hati ibubapanya dan mengajak mereka kepada Islam.


“setiap hembusan nafas dan langkah-langkahku... adalah satu perjalanan jihad!

Anak Manja

Peringgit, Melaka

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)