RSS

PENGEMBARA YANG RESAH

Ramadan memasuki hari ke 8. Pantas masa berlalu meresahkan saya, seorang pengembara yang mengimpikan redha Allah. Dalam suasana kabus iman yang menyelubungi masyarakat, taqwa yang cuba dibina begitu mudah rapuh. Membina taqwa di dalam suasana Islami yang begitu dhaif, amat melelahkan, di tambah pula dengan kelemahan-kelemahan diri yang ada.

"Ya Allah, bimbingilah aku dengan kasihMu. Hiburkan aku dengan sedikit harapan. Kasihanilah diri yang lemah ini Ya Allah. Berilah peluang kepadaku Ya Allah untuk memperbaiki iman dan amal!". Seringkali saya berdoa dan terus berdoa agar Tuhan masih memandang saya dengan rahmatNYA. Sukarnya menjaga taqwa, sedikit meningkat, kemudiaan jatuh dan adakalanya jatuh tersungkur. Seumpama menjunjung bakul yang penuh muatan di atas kepala tanpa memegangnya, terhuyung hayang. Begitulah sukarnya memelihara taqwa.

Seringkali airmata berhampuran keluar tanda kekecewaan bila taqwa terlepas dari diri. Rasa hina dan amat terhina disisi Allah. Rasa hanya dosa dan kesalahan demi kesalahan yang memayungi sepanjang perjalanan hidup, begitulah saya merasainya. Apakah Allah masih memandang jiwa yang penuh dengan dosa dan noda ini? Muka yang berdosa, mata yang berdosa, tangan yang berdosa, kaki yang berdosa? Sukarnya untuk saya menghindari dosa dan kesilapan. Apakah ini gaya hidup manusia beriman dan bertaqwa? Saya bersoal jawab dengan diri sendiri. Malam beramal, siang berdusta atau sebaliknya. Begitu lah silih berganti. Ianya amat mengecewakan saya.

Suasana ramadan yang penuh keberkatan, rahmat dan curahan kasih sayang Allah begitu saya nantikan. Semoga dipanjangkan umur untuk saya melalui ramadan kali ini dengan sebaik yang mungkin. Walaupun telah tewas, harapan saya masih terlalu besar terhadap Allah. Semoga kuat nekad saya untuk terus menghayati Islam sebagai cara hidup tanpa dibelenggu oleh tuntutan nafsu. Sesungguhnya Ramadan mempamirkan kekuatan iman kita yang sebenar kerana syaitan telah dirantai. Yang menggoda dan tergoda itu ialah nafsu dan yang tewas itu adalah diri kita sendiri...

Mak Long Nina
Ramadan 8, 1431

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment