RSS

Ramadan Yang di Nanti

Cerah langit pagi 15 Syaaban menceriakan hari. Burung-burung lepas bebas di udara mendamaikan perasaan insan. Udara segar menenangkan jiwa. Seolah-olah bulan penuh keberkahan itu sudah berada dalam genggaman. Ramadan menggamit memori dan perasaan bagi insan yang masih punya impian untuk menjadi hamba rabbani. Semoga kita dipanjangkan umur untuk bertemu di dalam suasana yang penuh rahmat dan keberkatan itu. Bulan Ramadan adalah satu rezeki yang begitu berharga bagi hamba-hambaNya yang ikhlas mendambakan taqwa.

Ramadan begitu simbolik dalam kehidupan seorang muslim. Kedatangannya sentiasa dinanti. Bulan istimewa untuk kerehatan. Secara fizikal perut berehat dari memproses makanan di siang hari. Usus berpeluang untuk bercuti separuh hari. Jiwa turut berehat dari terus melakukan dosa demi dosa. Jiwa yang masih memiliki iman walaupun sebesar biji sawi terasa segan untuk melakukan dosa dalam keadaan berpuasa. Hadis di bawah memberi kita idea bahawa seseorang yang berpuasa akan terhalang dari melakukan dosa.

Baginda Rasulullah saw bersabda, "Puasa adalah perisai. Maka apabila salah seorang diantara kamu sedang berpuasa, janganlah ia berkata-kata kotor dan bersuara kasar.. Jika seseorang mencacinya hendaklah ia menjawab, 'Sesungguhnya aku sedang berpuasa, (dua kali). Demi Dzat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, sungguh bau mulut orang yang sedang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada minyak miski."

Amal ibadah yang dilakukan semata-mata mencari keredhaan Allah akan memberikan kesan yang baik di dalam kehidupan. Kesan puasa yang paling penting untuk kita capai ialah menjadi insan bertaqwa.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”. (Al Baqarah : 183)

Sebagaimana dalam kehidupan setiap projek/kerja yang dijayakan pasti mempunyai objektif yang ingin dicapai. Begitu juga dengan ibadah puasa yang diwajibkan oleh Allah kepada kita, dimana objektifnya adalah untuk mendapatkan ketakwaan. Jika objektif tidak tercapai maka bolehlah kita katakan bahawa ibadah puasa tersebut gagal dalam perlaksaannya. Takwa adalah suatu keperluan kepada mukmin. Takwa adalah bekalan terbaik untuk kita meneruskan perjalanan hidup di dunia yang sementara ini.

Dalam sebuah hadith dari Abu Hurairah RA disebutkan bahawa Rasulullah saw bersabda, "Allah SWT berfirman, 'Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa kerana puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku-lah yang akan membalasnya".

Aduhai teman,begitu lumayan tawaran Allah kepada kita, Dia yang akan membalasnya sendiri. Maka persiapkan dirimu...rebutlah tawaran yang datang cuma sebulan dalam setahun...

Salam Ramadhan Al Mubarak.....

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment