RSS

Terrific!


Doctor : I regret to tell you that you have a brain tumor.

Mr Bean : Yesss!!! (jumps with joy)

Doctor : Did you understand what I just told you?

Mr Bean : Yes, of course. Do you think I’m dumb?

Doctor : Then why are you so happy?

Mr Bean : Because that proves that I have a brain!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

Kek Kukus Buah-buahan Oren

Setiap kali memukul margerin dan gula untuk membuat kek, perasaan bahagia menerpa di jiwa. Bersyukur dilahirkan sebagai seorang wanita. Melihat margerin dan gula semakin mesra dan menghasilkan warna putih kekuningan, hati merasa semakin bahagia. Seronok. Sesekali ke dapur untuk memasak.

Gaya hidup yang sibuk dan tinggal berseorangan sebenarnya antara faktor penyebab aku begitu jarang memasak. Ilmu tentang memasak juga amat kurang. Namun yang peliknya aku mempunyai koleksi resepi yang tersimpan rapi di atas rak. Jauh di sudut hati minat memasak dan mencuba resepi baru memang ada, cuma keadaan tidak mengizinkan. Sesekali berpeluang masuk ke dapur, seringkali kek buah, spageti, mee teow goreng basah, jemput-jemput jagung atau roti nan malaysia menjadi pilihan.

Sewaktu mengeluarkan kek dari pengukus hati bertambah girang. Wangi dan begitu menyelerakan. Kembang-kembang lubang hidung menghidu kewangiannya. Emak di sebelah tersenyum simpul. Sementara menunggu kek sejuk, hati agak berdebar. Ini adalah kali keenam aku membuat kek buah. Tiga percubaan pertama kek dibakar di dalam ketuhar pembakar. Pertama kali membuatnya semua buah-buahan berkumpul di bahagian bawah kek, kali kedua membuatnya semua buah-buahan berkumpul pula di bahagian atas. Kali ke ketiga kek kehangusan, tetapi aku tidak ingat di mana buah-buahannya berkumpul. Untuk ketiga-tiga percubaan ini aku mengikut resepi yang layari dari laman web.

Namun begitu aku tidak pernah berputus asa untuk mencuba. Membeli kek buah dengan harga RM50 untuk 1.5 kilogram bagiku begitu merugikan. Berbekalkan kos sebanyak itu aku boleh menyediakan dua biji kek buah seberat lebih kurang 4 kilogram. Di samping puas untuk dinikmati sendiri, aku boleh mengagihkan kepada ahli keluarga, kawan-kawan rapat dan jiran-jiran. Seterusnya aku mencuba resepi yang diberi oleh kawan baik emakku. Alhamdulillah, untuk resepi kali ini kek dikukus dan percubaan pertama dan kedua menjadi, namun emak semacam tidak berpuashati. Komennya, kek aku ‘batat’! Tidak begitu gebu. Emmm...alahai...

Setiap kali emak membuka mulut untuk membuat kek, pilihannya pasti kek planta atau kek oren. Aku akan memasamkan muka. Biasanya aku akan memilih kek buah, kerana ia juga adalah kegemaran ayahku. Namun, selepas mengukus kek buah untuk kali ketiga, emak tersenyum sambil menyuapkan kek ke mulutku, tidak sia-sia emak menyuruhku mengubah sedikit resepi dengan memasukkan satu cawan setengah ‘tepung naik sendiri’ ke dalam resepi asal. Kek bertambah gebu dan sedap.

Sekarang aku berkira-kira untuk mengubah lagi resepi yang ada. Untuk memuaskan hati emak dan ayah. Emak suka kek oren. Ayah suka kek buah. InsyaAllah, akan datang “Kek Kukus Buah-buahan Oren”. Firman Allah SWT : Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibubapa. An-Nisaa’:31

Emak dan ayah begitu istimewa. Sarat jiwaku dengan perasaan kasih yang begitu mendalam terhadap mereka. Berbuat baik dan berbakti kepada kedua-duanya sememang satu tuntutan yang sangat tinggi di dalam Islam. Muslim yang terbuka pintu hatinya sentiasa berusaha menggembirakan hati ibubapanya dan mengajak mereka kepada Islam.


“setiap hembusan nafas dan langkah-langkahku... adalah satu perjalanan jihad!

Anak Manja

Peringgit, Melaka

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

Suratkhabar oh suratkhabar!

Suatu petang yang damai, dua orang sahabat baik bertemu.

DEN : Aku ada satu teka-teki, nak cuba jawab?

DON : Emmm...boleh juga.

DEN : Apa benda kita beli hari ini, esok dah tamat tempoh?

DON : Emmm...(mengelamun). Piala dunia? Kad prabayar? Durian?

DEN : Semua salah, jawapannya suratkhabar.

DON : Ingatkan aiskrim tadi...!!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

KEMBARA MENUJU HIDAYAH

Oleh : NINA SUSANA

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku memperlahankan kereta yang ku pandu, sebolehnya aku tidak mahu menangis. Namun, ini bukanlah kali pertama aku cuba menahan tangis di dalam kereta. Aku pernah menangis kerana ditengking dan dimarahi oleh jurulatih karate-do ku kerana membelasah dengan teruk pasangan lawanku sewaktu sesi latihan angkara dendam, aku pernah menangis hampir dua jam di dalam kereta kerana putus tunang dengan lelaki yang amat ku sayangi, yang ku dambakan untuk menjadi pendamping hidup malah aku pernah menangis di dalam kereta hanya kerana di saman oleh polis trafik atas kesalahan memandu melebihi had laju.

Nissan GT-R berwarna kelabu cair kuparkirkan berhampiran rimbunan pokok-pokok puding pelbagai warna. Cahaya lampu yang terang benderang dan berwarna-warni menambahkan lagi keceriaan suasana ruang meletak kereta tersebut. Kawasan ruang rehat pemanduan jarak jauh itu kelihatan lengang. Mungkin hari-hari bekerja, kenderaan kurang memenuhi jalan raya. Aku memang tidak mengenal waktu. Siang dan malam bagiku adalah sama. Cuma dari pandangan mata, siang adalah terang dan malam adalah gelap. Mungkinkah jiwaku telah gelap untuk menghayati tiap-tiap saat yang berlalu pada setiap hembusan nafas yang ku hirup? Pukul 11 malam adalah terlalu awal untuk ku pulang ke rumah. Aku memegang stering kereta ku seeratnya sambil melepaskan satu keluhan yang amat berat. Perasaan ku begitu tertekan.

Namun untuk kali ini perlukah aku menangis? Kedatangan dan pemergian Fatimah sudah terancang. Aku memang sedia maklum dan memang telah menyediakan ruang hatiku untuk itu. Sewaktu Fatimah bertungkus lumus mengemaskan barang-barangnya untuk kali terakhir, aku hanya membiarkan sahaja. Aku tidak terfikir untuk membantu. Aku lebih senang membaca di bilikku sendiri. Kini, setelah hampir seminggu Fatimah tiada baru ku sedar betapa kosongnya ruang yang ditinggalkan untukku. Bilik yang ditinggalkan kosong hanya ukuran zahir, yang lebih penting siapa yang akan mengisi kekosongan jiwaku kini?

Seterusnya aku mengambil keputusan untuk mengeluarkan diri dari kereta dan menuju ke deretan kedai yang berhampiran. Selesai menguruskan beberapa urusniaga di mesin pengeluaran wang, aku singgah sebentar di kedai serbaneka 7-Eleven. Nyata, aku sendiri tidak pasti apa yang bakal ku beli di sini. Aku hanya membelek-belek beberapa jenis coklat yang menjadi kegemaranku. Seleraku hilang. Fikiranku buntu. Aku tidak mampu untuk menipu diri sendiri. Aku kesedihan. Aku cuba lari dari kehilangan ini. Fatimah telah pergi. Aku akan keseorangan semula, tanpa teman serumah. Perlukah aku kembali ke rumah Papa? Mampukah aku mencipta ketenangan dan mencari makna kehidupan di sana? Papa hanya menghamburkan segala segala kemewahan luaran tetapi tidak pernah mengisi kesepian jiwaku. Rohaniku tidak pernah dibimbinginya. Papa bukan seorang ayah baik, pada pandanganku.

Semenjak aruah Mama pergi 10 tahun yang lepas, kesepian hidup membuatkan aku lari untuk menjadi kebahagiaan. Rumah Papa kutinggalkan dan belajar untuk hidup sendiri. Baru sebentar sahaja aku menikmati sedikit kebahagiaan semenjak kedatangan Fatimah, kini dia pergi meninggalkan aku. Kehadiran Fatimah walaupun sementara memberi sinar baru di dalam hidupku. Seolah-olah aku menemui cahaya petunjuk baru untuk menerus perjuangan hidup ini. Fatimah tidak memberi kuliah agama. Dia hanya menunjukkan contoh praktikal akhlak seorang muslim setiap hari di depan mataku. Fatimah tidak pernah berpura-pura atau rasa tertekan dengan segala tindakannya. Dia kelihatan sentiasa tenang.

Kejutan pagi itu amat melemaskan aku. Mana pernah sepanjang hidup aku bangun pagi sebelum jam tujuh pagi. Seingat memoriku, kali terakhir aku bangun seawal 4.30 pagi adalah 20 tahun yang lepas, semasa dipaksa rela untuk mengikuti minggu orientasi di sekolah. Selebihnya memang aku tidak pernah bersolat subuh. Namun begitu entah mengapa pagi subuh itu di dalam kebencian kugagahkan juga untuk bangun, setelah dipujuk rayu oleh Fatimah, gadis yang hanya memiliki ketinggian cuma empat kaki. Aku menjadi makmum di belakangnya dalam keadaan mengantuk menguasai diri. Selepas mengaminkan doa Fatimah aku terus meloncat ke atas katil untuk menyambung tidur. Sayup-sayup Fatimah mengalunkan bacaan al Quran dan aku dibuai lena dalam kelembutan dan kesayuannya mendendangkan kalimah-kalimah suci itu. Kenangan bersama Fatimah terus menerjah ke ruang fikiranku... Huh! Huh! Huh! Aku menangis...

Maghrib itu Fatimah mengajarku mengaji. Terasa janggal menguasai diri. Sudah terlalu lama aku meninggalkan kitab suci itu. Terkial-kial aku cuba menyebut semula huruf-huruf suci buku Iqra’ tahap pertama itu. Ya Allah! Bukalah pintu hatiku, terlalu sukar rasanya lidahku untuk mempelajari ayat-ayatMu, aku menangis sendiri di dalam hati. Begitu sabar dan tekun Fatimah mengajar aku membaca al Quran. Memang sudah terlalu lama aku tidak menyentuh Al quran. Bukan setakat menyentuh, melihatnya pun tidak. Al Quran tersusun kemas di atas rak buku yang paling tinggi.

Begitulah dhaif dan jauhnya kehidupanku dari Al Quran. Rukun Iman dan rukun Islam hanyalah teori-teori yang kuhafal untuk pelajaran agama semasa di sekolah dahulu. Untuk subjek agama sememangnya aku sering mendapat markah tertinggi di dalam peperiksaan tanpa aku fahami tuntutan sebenar ilmu-ilmu yang ku pelajari tersebut. Sebaliknya di dalam menjalani kehidupan, aku hanya menggunakan lojik akal dan terikut-terikut dengan suasana di sekeliling. Akibatnya aku tidak menemui kepuasan dan kegembiraan di dalam hidupku. Semakin ku kejar kehidupan ini, semakin aku merasakan ada kekosongan di dalam diriku ini. Kehidupan menjadi begitu hambar dan membosankan.

Semenjak meninggalkan rumah Papa 10 tahun yang lepas, aku bagaikan anak yatim piatu di atas muka bumi ini, tinggal bersendirian tidak menjadi masalah buatku. Kesibukan sebagai wartawan sudah cukup untuk mengisi setiap jam yang ada. Walaupun Papa sentiasa mengambil berat tentang kehidupanku, itu langsung tidak memberi kesan kepadaku. Setahun hanya sekali sahaja aku menjengah muka ke rumah Papa dan bertemu dengan ahli keluarga Papa yang baru. Aku tidak memilih untuk hidup begini, namun ini suratan takdirku. Sama sepertiku, aruah Mama juga adalah tunggal. Keluarga sebelah Papa dari golongan elit dan semenjak kecil aku memang tidak suka bergaul dengan sepupu-sepupuku yang hipokrit. Hidup hanya berlandas keseronokan tanpa batas. Lalu jadilah aku begini, memilih untuk hidup sendirian. Hidup tanpa bimbingan dan kasih sayang, menyebabkan aku larut dalam suasana keliling.

Huh! Huh! Huh! Aku menangis. Sudah hampir sembilan minggu aku cuba menghafal surah Al-‘Alaq. Al-‘Alaq bermaksud segumpal darah. Namun sehingga saat ini hanya separuh dari surah itu yang mampu ku ingati. Seringkali aku tertukar di antara ayat ketiga dan ayat keempat. “Bacalah dan tuhanmu lah yang maha mulia”, “Yang mengajar (manusia) dengan pena” (Al-‘Alaq : 3-4). Di saat ini ingatanku kepada Fatimah muncul kembali. Masihku teringat lagi bagaimana aku menghafal surah Al-Fatihah di hadapannya setiap hari selepas solat subuh. Seterusnya aku semakin seronok membuat hafalan dan dia lah yang banyak membantu. Jiwaku semakin tenang berdampingan dengan Al Quran. Seringkali juga kesedihan datang bertamu apabila menghayati maksud ayat keenam hingga kelapan. “Sekali-kali tidak! Sungguh, manusia itu benar-benar melampaui batas, “, “Apabila melihat dirinya serba cukup”,”Sungguh, hanya kepada tuhanmu lah tempat kembalimu...” (Al-‘Alaq : 6-8).

Oh! Tuhan, Akulah manusia yang melampaui batas itu. Tidak pernah sekali aku menzahirkan rasa bersyukurku kepadaMu. Apakah yang akan ku persembahkan di hadapanMu nanti? Berulang-ulang kali aku membaca dan menghayati tafsiran ayat-ayat tersebut. Setiap kali itu juga airmata menitik-nitik dan membasahi Al Quran tafsir pemberian Fatimah yang menjadi barang kesayanganku kini. Cahaya keinsafan menjalar lembut masuk ke dalam jiwa kerdilku ini. Lunak hatiku untuk terus mendalami ilmu-ilmu agama. Semakin ku fahami, semakin sempurna ku hayati Islam sebagai cara hidup.

Seketika dahulu, sering aku bertanya pada diri sendiri. Apakah kurangnya diriku ini? Kemewahan sememangnya telah aku perolehi semenjak kecil lagi. Papa ku seorang hartawan. Kecantikan memang ku warisi dari Mama yang berdarah Inggeris. Popularitiku sebagai wartawan terkenal memang tidak dapat dinafikan. Sebelum keluar dari kampus lagi, aku sudah mula serius di dalam bidang kewartawanan ini. Usaha-usaha gigihku berbaloi. Aku begitu dikenali. Namun disebalik itu semua kesepian membaluti hati nuraniku. Arak dan rokok menjadi teman setia. Sebelum kehadiran Fatimah telah beberapa kali juga aku bertemu kaunselor. Apakah rahsia kebahagiaan sebenarnya?

Tidak ku sangka, kehadiran Fatimah anak kawan lama Papa ke rumah ku selama lima bulan telah mengubah segala-galanya. Pada peringkat awalnya aku begitu berdolak dalih untuk menerima Fatimah. Alasanku mudah, tidak biasa mempunyai teman serumah dan tidak suka diganggu. Aku akhirnya kalah dengan pujukan. Suara lemak merdu Fatimah melalui ganggang telefon bagaikan irama keramat yang telah mencairkan keegoanku. Aku menerima dalam keadaan terpaksa. Fatimah berjaya meyakinkan aku bahawa kehadirannya cuma sementara. Ayahnya dan Papaku adalah kenalan semenjak di universtiti lagi dan masih berhubungan sehingga sekarang kerana urusan perniagaan. Fatimah sekeluarga telah lama bermastautin di Indonesia dan dia berada di Kuala Lumpur untuk kursus jangka pendek bahasa Arab sebelum berlepas ke Mesir bagi menyambung pengajiannya.

Pada peringkat awal Fatimah menghuni rumah ku, aku begitu dingin. Sepatah yang ditanya, sepatah juga jawapan yang ku beri malah adakalanya jawapannya adalah herdikan dan perlian yang penuh berbau sinis. Fatimah hanya tersenyum untuk setiap jawapan yang ku beri. Kadang-kadang aku menjadi robot bergerak, hanya membisu jika Fatimah bertanya sudahkah aku bersolat atau mempelawaku untuk solat bersama. Aku tidak perlu diajar, aku tidak perlu dididik. Egoku melangit tinggi. Degilku bukan kepalang. Aku fikir ilmu dan kecerdikkan yang ku miliki sudah membuatkan aku cukup hebat. Pada firasatku, ratusan buku yang ku baca sudah cukup untuk aku membawa haluan hidupku sendiri. Aku lupa membuat pertimbangan. Aku lupa bahawa aku perlu dibimbing dengan erti kata sebenar. Sering aku berfikir bahawa aku sudah cukup faham akan tanggungjawap ku terhadap diri, keluarga, bangsa, agama dan negara. Aku merasakan diri sudah cukup hebat dan serba betul. Itulah aku.

Kagum dengan keperibadian Fatimah, tanpa aku sedari sering aku bertanya kepadanya, apa erti hidup ini sebenarnya? Sering aku berkongsi falsafah, idea serta apa yang aku perjuangkan dalam hidup ini dengannya. Seperti biasa Fatimah begitu bersabar untuk memberi jawapan sebaik dan setepat yang mungkin. Walaupun sering berbeza pendapat dan adakalanya aku meninggikan suara, Fatimah sentiasa tersenyum. Dia tidak jemu berhujah dan tidak pernah merasa menang. Fatimah tidak pernah memenangkan dirinya, sebaliknya menegaskan bahawa idea serta hujah yang bernas yang dikemukakan adalah ilham dari tuhan. Cara hidup Islam yang diperjuangkan juga adalah sesuatu yang hak dan perlu disampaikan kepada seluruh manusia di alam jagat ini.

Betullah kata-kata Fatimah, hidup ini begitu rapuh. Tidak ada kekuatan yang boleh mencabar ketetapanNya. Satu saat pun kita tidak akan dapat lari dari ketentuanNya. Kemalangan akibat mabuk, sebulan selepas Fatimah tinggal bersamaku, telah mengubah pesepsi ku terhadap semua hujah-hujahnya sebelum ini. Sewajarnya aku membenarkan semua hujah-hujahnya yang jelas bersandarkan Al Quran dan hadis. Seterusnya aku perlu berusaha untuk mengubah cara hidupku yang menyimpang 360 darjah dari gaya hidup seorang muslim. Sepanjang terlantar hampir dua bulan di rumah sakit, Fatimahlah yang menguruskan segala-galanya. Selepas dikeluarkan dari Unit Rawatan Rapi aku dipindahkan ke wad biasa. Dia tidak pernah jemu untuk mengurusiku. Adakalanya Fatimah memandikan dan menyuapkan makanan serta melakukan terapi khas agar aku boleh berjalan semula.

Seminggu selepas boleh berjalan semula aku kembali ke rumah. Sementara masih diberi cuti sakit oleh pihak hospital, aku mengambil peluang untuk terus mendampingi Fatimah. Peluang terbuka, untuk ku cedok segala ilmu dan pengalaman dari gadis yang 11 tahun lebih muda dariku ini. Aku tidak ragu lagi untuk memberi penghayatan dan ketaatan sepenuhnya kepada Islam. Walau sesukar mana pun untuk aku membuang semua tabiat-tabiat burukku, berundur tidak sama sekali. Setiap kali melakukan rawatan untuk menghentikan tabiat merokok, lendir-kendir hitam akan keluar dari mulut dan hidungku. Ia cukup menjijikkan. Sejijik untuk aku kembali kepada zaman jahiliyyahku. Fatimah, walaupun kini dia telah tiada di sisiku namun segala ilmu, pengalaman dan tunjuk ajar yang diberi akan tetap ku hargai. Paling istimewa, sehingga kini walaupun dia telah jauh merantau di bumi Anbiya’, namun aku masih dapat merasakan sentuhan kasih sayangnya yang ikhlas semata-mata kerana Allah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

Banana Milk Shake

Teristimewa untuk yang nak jaga badan...

Bahan-bahan:

Satu biji pisang montel

Satu gelas susu (susu kambing lebih baik dari susu lembu)

Dua sudu ais krim vanilla (cari yang halal)

Tiga sudu nestum atau oats

Sedikit gula – jika nak manis lagi

Cara-cara: Kisar semua sekali – jika nak sejuk tambah ais atau sejukkan terlebih dahulu susu. Sedap dan menyegarkan. Cubalah!

It’s not what you eat but what eats you!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

SELIPARKU


Seliparku

Tertutup di depan

Terbuka di belakang

Namun aurat tetap terpelihara

Seliparku

Berharga sepuluh ringgit

Namun begitu selesa di pakai

Bersama sepasang stokin

Seliparku

Membawaku kemana-mana

Mengenali kehidupan

Merindui tempat abadi

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)

Apakah itu deria?

Manusia dikuniakan Allah dengan lima jenis deria iaitu deria pendengaran, penglihatan, deria rasa, deria bau dan deria sentuhan. Oleh itu sebagai permulaan bicara dalam pertemuaan di alam maya ini saya ingin mengajak sidang pembaca menggunakan semaksima mungkin deria penglihatan dan disepadukan dengan mata hati untuk mendapat manfaat demi manfaat dari cerita-cerita yang dibentangkan. Selamat Membaca.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Users' Comments (0)