RSS

Kek Kukus Buah-buahan Oren

Setiap kali memukul margerin dan gula untuk membuat kek, perasaan bahagia menerpa di jiwa. Bersyukur dilahirkan sebagai seorang wanita. Melihat margerin dan gula semakin mesra dan menghasilkan warna putih kekuningan, hati merasa semakin bahagia. Seronok. Sesekali ke dapur untuk memasak.

Gaya hidup yang sibuk dan tinggal berseorangan sebenarnya antara faktor penyebab aku begitu jarang memasak. Ilmu tentang memasak juga amat kurang. Namun yang peliknya aku mempunyai koleksi resepi yang tersimpan rapi di atas rak. Jauh di sudut hati minat memasak dan mencuba resepi baru memang ada, cuma keadaan tidak mengizinkan. Sesekali berpeluang masuk ke dapur, seringkali kek buah, spageti, mee teow goreng basah, jemput-jemput jagung atau roti nan malaysia menjadi pilihan.

Sewaktu mengeluarkan kek dari pengukus hati bertambah girang. Wangi dan begitu menyelerakan. Kembang-kembang lubang hidung menghidu kewangiannya. Emak di sebelah tersenyum simpul. Sementara menunggu kek sejuk, hati agak berdebar. Ini adalah kali keenam aku membuat kek buah. Tiga percubaan pertama kek dibakar di dalam ketuhar pembakar. Pertama kali membuatnya semua buah-buahan berkumpul di bahagian bawah kek, kali kedua membuatnya semua buah-buahan berkumpul pula di bahagian atas. Kali ke ketiga kek kehangusan, tetapi aku tidak ingat di mana buah-buahannya berkumpul. Untuk ketiga-tiga percubaan ini aku mengikut resepi yang layari dari laman web.

Namun begitu aku tidak pernah berputus asa untuk mencuba. Membeli kek buah dengan harga RM50 untuk 1.5 kilogram bagiku begitu merugikan. Berbekalkan kos sebanyak itu aku boleh menyediakan dua biji kek buah seberat lebih kurang 4 kilogram. Di samping puas untuk dinikmati sendiri, aku boleh mengagihkan kepada ahli keluarga, kawan-kawan rapat dan jiran-jiran. Seterusnya aku mencuba resepi yang diberi oleh kawan baik emakku. Alhamdulillah, untuk resepi kali ini kek dikukus dan percubaan pertama dan kedua menjadi, namun emak semacam tidak berpuashati. Komennya, kek aku ‘batat’! Tidak begitu gebu. Emmm...alahai...

Setiap kali emak membuka mulut untuk membuat kek, pilihannya pasti kek planta atau kek oren. Aku akan memasamkan muka. Biasanya aku akan memilih kek buah, kerana ia juga adalah kegemaran ayahku. Namun, selepas mengukus kek buah untuk kali ketiga, emak tersenyum sambil menyuapkan kek ke mulutku, tidak sia-sia emak menyuruhku mengubah sedikit resepi dengan memasukkan satu cawan setengah ‘tepung naik sendiri’ ke dalam resepi asal. Kek bertambah gebu dan sedap.

Sekarang aku berkira-kira untuk mengubah lagi resepi yang ada. Untuk memuaskan hati emak dan ayah. Emak suka kek oren. Ayah suka kek buah. InsyaAllah, akan datang “Kek Kukus Buah-buahan Oren”. Firman Allah SWT : Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibubapa. An-Nisaa’:31

Emak dan ayah begitu istimewa. Sarat jiwaku dengan perasaan kasih yang begitu mendalam terhadap mereka. Berbuat baik dan berbakti kepada kedua-duanya sememang satu tuntutan yang sangat tinggi di dalam Islam. Muslim yang terbuka pintu hatinya sentiasa berusaha menggembirakan hati ibubapanya dan mengajak mereka kepada Islam.


“setiap hembusan nafas dan langkah-langkahku... adalah satu perjalanan jihad!

Anak Manja

Peringgit, Melaka

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment