RSS

Bingkisan Buat Suraya

Assalamualaikum wbt,

Segala himpunan puji-pujian hanyalah untuk Allah swt, Rabb sekalian alam. Selawat dan salam untuk junjungan besar baginda Rasulullah SAW, ahli keluarganya, barisan para sahabat seterusnya pejuang-pejuang ad deen yang telah syahid dan juga yang masih dalam perjalanan menuju syahid.

Suraya yang diingati,

Entah berapa kali, komputer ribaku di renjis air mata sendiri. Setiap kali aku ingin memulakan warkah ini, sedih menyelubungi hati. Kenangan demi kenangan datang menerjah ke fikiran dan mengganggu hajatku ingin menulis kepadamu. Apakhabar dirimu sekarang? Emm...sudah tentu sedikit sebanyak aku mengetahui juga...sering kali tulisanmu muncul di beberapa majalah terkenal tanahair dan adakalanya engkau muncul di kaca televisyen. Apakhabar Anuar? Apakhabar juga putera-puterimu, Aiman dan Sakinah?

Suraya yang dikasihi fillah,

Hebatnya perasaan rinduku padamu, hanya Allah yang lebih mengetahui. Terlalu lama kita dipisahkan oleh keadaan dan masa. Syukur! akhirnya dapat juga aku menjejaki alamat ‘e-mail’mu ini. Bukan aku ingin bercerita tentang perkara lepas yang telah lama berlalu, cuma aku perlu memberitahu padamu apa perkara sebenarnya yang telah berlaku, agar tiada rasa hati, tiada rasa buruk sangka sesama kita. Sekurang-kurangnya aku ingin engkau tahu, bahawa aku bukan perampas kebahagiaanmu.....

Su,

Izuddin, pelajar kejuruteraan kacukan melayu-cina itu memang menjadi rebutan ramai. Orangnya warak dan sentiasa menjadi perhatian di kampus. Ya, namun didikan iman yang sama-sama kita lalui dari MRSM lagi tidak memungkinkan kita juga seperti orang lain yang berebut-rebut ingin mendampinginya. Apatah lagi sifat peramah dan mesranya di bilik MPP menyebabkan ramai juga yang terperasan! Aku yang berkulit gelap tapi manis ini, tidak pernah sekali pun termimpi untuk bergandingan dengannya. Aku selalu juga perasan, sesekali Izuddin mencuri pandang kearahmu semasa mesyuarat di jalankan...dan sekali lagi didikan iman menjadi benteng agar kita tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan melainkan atas tuntutan yang perlu.

Su yang dirindui...

Hampir 11 tahun sudah kita tidak bertemu. Rajukmu panjang! Marahmu tanpa sebab! Begitu mudah Su, engkau meminggirkan aku dari kamus hidupmu. Namun, aku kenal hati budimu Suraya. Sejak di tingkatan 1, kita mula kenal dan terus rapat, sehinggalah gelaran pelajar terbaik SPM tahun 1991 sama-sama kita rangkul. Engkau ingat lagi dengan Mr Tan? Guru fizik yang sentiasa menjadi bahan ketawa kita, ya... lah seluar ala 70 annya itu sering menjadi gurauan kita. Ingat lagi dengan gerai Mak Ngah Bedah di luar pintu maktab? Masih aku terasa kesedapan cendol pulutnya itu! Ada lagikah warungnya itu? Entahlah... aku pun sudah begitu lama tidak ke Perlis. Yang penting, engkau masih cantik menawan seperti dulu, berseri-seri wajahmu muncul di kaca TV, sayangnya gayamu sudah jauh berubah. Bertuah Anuar! Tahniah juga untuk pengajian PHD yang baru engkau selesaikan. Ya, seperti yang kita impikan bersama-sama dahulu, semasa mengulangkaji di bawah pohon ketapang sebelah kantin maktab. Sekali lagi tahniah, Dr Suraya bt Dato’ Manan.

Su,

Selepas berita pertunanganku tersebar luas di kampus, aku begitu tertekan. Entah siapa yang bawa mulut. Aku menangis, aku sedih tiada siapa yang tahu. Fikiranku betul-betul terganggu. Engkau melarikan diri langsung dariku. Aku berusaha untuk menerangkan kedudukan yang sebenarnya, tapi Allah tidak memberi aku ruang untuk aku bersemuka denganmu. Engkau terus menyembunyikan diri dariku. Di manakah rasa mahabbah, rasa ukhuwah yang selama ini kita bina? Su, aku bertunang dengan Izuddin atas perancangan keluarga, kami sendiri tidak pernah tahu menahu. Izuddin yang semasa itu telah berada di UK untuk menyambung pelajaran, hanya menurut sahaja pilihan ibu dan ayahnya. Namun akulah lilin yang membakar diri...aku terima ini sebagai ketentuan dan ujian dari Ilahi. Aku terpaksa menurut desakan keluarga, walaupun aku telah berusaha untuk lari dari ikatan itu, namun aku tidak mampu Su... dan tidak mungkin aku menderhakai ibu dan ayahku...

Su,

Keputusan peperiksaan semester akhir, menghadiahkan aku 2E untuk subjek teras program, yang memaksa aku untuk berhadapan dengan semester tambahan. Masa itu engkau sudah terlalu jauh dariku! Di program-program usrah juga engkau tidak lagi ku temui. Walaupun aku tahu engkau menyambung pengajian sarjana di kampus yang sama. Semester tambahan ku lalui dengan tabah! Bersendirian di tasik ilmu, aku gunakan sebaiknya untuk menebus kesilapan. Aku perlu bangun, tidak mungkin aku mensia-siakan pengajianku ini, walaupun lewat setahun dari tempoh sebenar, ku genggam juga akhirnya sekeping kertas yang dinamakan ijazah, kerana kertas itu ada harga dan nilai.

Suraya...

Kebahagiaan, rezeki dan harta semua itu hak mutlak Allah, untuk diagih-agihkan kepada hamba-hambaNya. Sifat Ar Rahman dan Ar RahimNya sentiasa bersama kita. Majlis perkahwinanku berlangsung sejurus selepas aku menamatkan pengajian. Ikatan perniagaan antara keluargaku dan keluarga Izuddin dikuatkan lagi dengan ikatan perkahwinan kami. Bibirku tersenyum, taktala Izuddin menyarungkan sebentuk cincin berlian di dalam upacara membatalkan air sembahyang. Terlalu meriah majlis itu, kegembiraan jelas terbayang di wajah kedua orang tua kami, kaum keluarga dan kawan-kawan yang hadir. Tapi sekali lagi Su...akulah lilin yang membakar diri. Senyuman dibibirku hanya lakonan, hatiku terlalu sedih...kerana perkahwinan ini...aku kehilangan engkau...sahabat yang sama-sama berjuang atas dasar iman dan Islam.

Suraya...

Masa terus berlalu. Aku tidak pernah melupakanmu. Doaku sentiasa mengiringimu. Kita berhajat dan kita merancang, tetapi Su... Allah Maha merancang! Kita akur dengan semua ketetapanNya. Semua yang Allah susun untuk kita bukan secara kebetulan, semuanya ada hikmah yang tersembunyi. Semuanya adalah untuk kebahagiaan dan kebaikan kita. Besar harapanku engkau akan membalas e-mail ku ini. Aku suka dan senang untuk berkongsi kebahagiaanmu di sana. Tentu Aiman dan Sakinah secomel Uminya juga. Aku juga ingin berkongsi ilmu dan cerita...mungkin juga resepi! Rindu aku dengan laksa Johor engkau yang memang sedap! Aku sendirian sahaja di rumah malam ini, Izuddin di rumah isteri keduanya... wassalam.

Sahabatmu...

Nurin Izzati bt Abd Kadir,

Jakarta, Indonesia.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment