RSS

KEMAAFAN

A. Nia mempercepatkan langkahnya. Hatinya risau. Dia harus cepat. Nia berlari-lari anak menaiki anak tangga. Jam tepat menunjukkan pukul 1 pagi. Kolej Muhammad Mujahid masih terang benderang. Cahaya bulan dan bintang saling bantu membantu menerangi bumi ini. Indah sungguh ciptaanNya. Cuaca begitu baik menjelang Ramadan ke 17 esok. Malam-malam Ramadan yang telah dilalui terasa sepi dan hambar. “Ahh…akukah yang tewas merebut keberkatan dan menghirup rahmat suci Ramadan?”. Getus Nia di dalam hati. Air mata mengalir deras. “Ya Allah, ruginya mensia-siakan detik keemasan ini….”. Nia menelan pahit kelukaan hatinya.

1. Saum (Puasa) dari perkataan صام bererti menahan maka يصوم bermaksud menahan diri dari kebiasaan melakukan perbuatan dan sikap sia-sia. Sepintas lalu dapatlah difahami bahawa bukanlah puasa itu tertumpu pada isu berlapar sahaja tetapi fokus puasa ialah latihan menahan diri dari menurut kehendak-kehendak liar dan rendah (not belong to Islam). Masih terdengar-dengar penerangan Ustaz Abd Nasir di awal menyambut bulan Ramadan lalu. Bersungguh-sungguh dia memberi penjelasan berkaitan ibadah dan kelebihan di bulan Al Mubarak ini. Aku hanya termenung ...hebat!

B. Nia memberi salam, seraya membuka pintu bilik. Liza berbaring di atas katil sambil membelek-belek majalah kegemarannya. “Eh ! Liza.. tak.. tidur... lagi?” soal Nia dengan suara yang tersekat-sekat. “Nia seharian ke mana?” Liza bertanya malas. Nia membiarkan soalan itu berlalu begitu sahaja, dengan pantas dia memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam beg lantas duduk sebentar di birai katil. Matanya tepat merenung Liza tanpa sebarang suara. “Nia akan bermalam di rumah Kak Misa untuk beberapa hari, masih ada lagi beberapa kertas kerja yang perlu diselesaikan...”. Nia bersuara sambil beredar untuk pergi. Liza hanya mengangguk tanpa suara. Hanya senyum hambar yang mampu diukirkan. Nia pergi entah untuk kali yang ke berapa. Liza kecewa dan beginilah selalu suasana yang berlaku. Liza menutup mukanya dengan bantal lantas menangis. Nia terlalu dingin. Seolah-olah kemesraan lalu hanya tinggal kenangan...!

2. Berlapar hanyalah satu mekanisme sahaja untuk memudahkan seseorang mukmin mengawal diri dari perbuatan dan sikap yang sia-sia. Ini dijelaskan dengan hadis yang bermaksud “Orang yang tidak meninggalkan berbohong dan tetap melakukannya, Allah tidak memerlukannnya untuk meninggalkan makan dan minum” (Bukhari, Muslim). Ustaz Abd Nasir terus menyambung ulasannya. Aku memandang ke arah Liza yang duduk di bahagian tengah, barisan hadapan sekali. Dia begitu asyik membuat catatan di dalam buku nota. Sedang aku datang tanpa sebarang pena dan kertas. Sememangnya aku tiada kesungguhan untuk menyambut bulan bonus untuk menambah amal soleh bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT.

C. Nia termenung di tepi jendela. Suasana pagi terasa amat membosankan. Nia seolah-olah merasakan dia kehilangan dirinya sendiri. Hujan rentik-rentik yang menyelubungi bumi hanya menambah kedinginan hatinya. Kak Misa masih setia di atas sejadah. Al Quran sememangnya juadah rohani terbaik di bulan mulia ini. Nia masih memeluk diri, sweater hijau yang dipakai tidak berjaya memanaskan tubuhnya. Batuk bertalu-talu menemani sepi. Dia benar-benar gelisah. Mimpi malam semalam memaksa Nia berfikir kembali. Ros putih pemberian Liza di taman biru itu menambah resah jiwanya. Liza yang semakin dijauhinya...Liza yang semakin dipinggirkan di dalam persahabatan...Liza yang begitu bersabar sepanjang 10 tahun perkenalan mereka! “Ya Allah, akukah yang tegar dengan keegoanku sendiri”. Nia berbisik di dalam hati. Nia sendiri tidak mengerti mengapa dia masih gagal membuang rasa marahnya pada Liza. Dia cuba mengumpul kekuatan diri, menghimpun doa, namun rasa marah dan geramnya pada Liza begitu sukar dihapuskan. Senyum Liza datang dan pergi di dalam mimpi itu, sambil menghulurkan sejambak ros putih. “Mimpi Cuma mainan tidur!”. Nia memujuk dirinya sendiri. Nia lesu sepanjang hari dan matahari enggan tersenyum pada hari itu.

3. Puasa dalam erti tersebut tentu sekali menjadi satu kesempatan bagi mukmin yang mempunyai sasaran untuk meningkatkan dirinya di sisi Allah. Tingkat di sini bermaksud takwa. Takwa berperanan sebagai pembisik di dalam hati untuk membezakan yang mana buruk dan baik. Yang mana halal dan yang mana haram. Takwalah yang paling berharga bagi mukmin untuk membantunya mengharungi cabaran kehidupan di dunia ini. Di samping mendorongnya melaksanakan tugas-tugas yang ditaklifkan. “Apakah aku insan yang bertakwa?”. Soal Nia pada dirinya sendiri. Adakah insan bertakwa itu tidak berkasih sayang sesama mereka? Adakah insan bertakwa itu menyimpan dendam di sudut hatinya? Raut wajah Ustaz Abd Nasir di lihat bercahaya. Terang!

D. Apakah puasa aku hanya memperolehi lapar dan dahaga sahaja hari ini?”. Nia tertanya-tanya sendiri. Pagi tadi, Nia enggan bangun untuk mengaut keberkatan sahur lantas terus menyambung tidur, walau pun suara Bilal telah jelas kedengaran mengejutkannya untuk solat subuh. Nia tahu jiwanya terlalu lemah di saat ini. Kedinginan tiupan kencang angin La Nina hanya membuatkan Nia tidur, termenung dan menangis. Dia keliru dengan perasaannya sendiri. Mulut Kak Misa seakan terlalu berat untuk bertanya. Dia membiarkan Nia melayan perasaanya sendiri. Hanya Allah yang maha tahu perasaannya kini. Sepanjang bulan Ramadan ini, Nia di landa tekanan perasaan. Bilik asrama dijadikan sebagai hotel sahaja, pulang hanya untuk mengambil nota kuliah dan menukar pakaian. Perhubungannya dengan Liza semakin sepi, semakin renggang dan semakin sukar untuk di mengertikan...sebab dan puncanya? “aah...aku bosan memikirkannya...”, keluh Nia sendiri. Kemanisan ibadah di bulan Ramadan tidak dapat dinikmati, angin suci Ramadan gagal memadamkan kemarahannya pada Liza. Siang dan malam terus berganti, suasana keberkatan Ramadan seakan melambai-lambai agar Nia berbuat sesuatu demi ukhuwah ini, demi Islam dan demi keselamatan di negeri akhirat kelak.

4. “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara” (Al Hujurat : 10). “...sesungguhnya prasangka itu tiada faedahnya sedikit pun bagi kebenaran” (An Najm : 28). Bergetar jiwanya merenung ayat-ayat Al Quran tersebut. Penyataan dan amaran dari Allah itu seakan-akan menyentap urat nadinya. “Akukah yang tewas dengan keegoanku sendiri?”. “Akukah yang berpura-pura dengan Islam?”. Nia terus membuat muhasabah diri...

E. Alhamdulillah. Pujukan dan nasihat lembut Kak Misa berjaya meleraikan kekusutan jiwanya. Semangat jihad baru kini bergelora di dalam jiwa Nia. Imannya segar kembali. Sekali lagi, Segala puji bagi Allah, Rabb sekalian alam. Rasa marah dan egonya lebur bersama sebuah keinsafan. Liza harus ditemui dengan segera. Rindu pada Liza dan saat-saat manis bersama membuatkan Nia tersenyum tersendiri. Liza tidak pernah bersalah dalam hal ini. Nia yang bersangka buruk dan terlalu mengikut perasaan. Nia bersyukur dengan keputusannya kini. Kemaafan dari Liza perlu baginya kini. Nia ingin melupakan perkara remeh temeh yang merosakkan ukhuwah sesama mereka. Nia ingin menghabiskan 10 hari terakhir Ramadan ini dengan memperbaharui iman kepada Allah SWT dan memupuk kembali ikatan ukhuwah yang longgar suatu ketika dahulu.

5. Ramadan bererti “oasis” iaitu satu kawasan hijau di tengah padang pasir. Oleh itu Ramadan diibaratkan sebagai bulan kerehatan penuh barakah untuk memulihkan jiwa yang keletihan atau kecederaan kerana pelbagai mehnah dan fitnah sepanjang tahun. Keberkatan dan keutamaan Ramadan tergambar dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud : “Sesiapa yang berpuasa di dalam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ikhlas dan menghisab (tindakannya) diampunkan dari segala dosa sebelumnya” (Bukhari, Muslim). Tenang dan jernih sahaja air muka Kak Misa semasa memberi sedikit tazkirah di dalam program berbuka puasa, di malam Nuzul Quran yang lalu.

F. Bilik B302, Kolej Proton itu sunyi seolah-olah sudah lama ditinggalkan. Nia cemas!. Dia tertanya-tanya sendiri. “Mana Liza pergi?” soal Nia pada diri sendiri. Nota kecil yang terselit di tepi pintu mendebarkan jiwanya. “Liza di wad kecemasan”. Nia panik. Nafasnya bagaikan tersekat. Nia perlu segera mendapatkan Kak Misa untuk ke hospital. Sebak dan air mata sudah tidak dapat dibendung lagi untuk mengalir. Lara hati Nia hanya Allah yang tahu. Kak Misa memecut kereta ke arah Jalan Kenanga untuk ke hospital. Apakah masih ada peluang untuk pesakit kanser tulang seperti Liza? Hanya Allah penentu segalanya. Kak Misa terharu, Nia di sebelahnya di biarkan menangis sendiri. Mata lesu Liza menggambarkan penderitaan yang ditanggung. Mata dan hati mereka berbicara tanpa suara. Liza mengucup tangan Nia berkali-kali, begitu juga Nia. Tanda kemaafan...ingin bersama seperti dahulu, tetapi masihkan ada kesempatan itu? KetentuanNya telah sampai dan malam Ramadan ke 27 itu menyaksikan Nia kehilangan seorang sahabat yang amat dihormatinya. Sahabat yang telah memperkenalkan dia kepada Islam yang sebenar, sahabat yang telah mengajar dia erti hidup yang sebenar, sahabat yang begitu sabar mendidiknya, sahabat yang telah membuang segala kepentingan dirinya demi sebuah persaudaraan... air mata Nia seakan berhenti mengalir! “Ya Allah, ini ketetapanMu dan semoga kami bertemu kembali di negeri yang abadi nanti”.

6. Pagi subuh 1 Syawal itu, Nia merasakan dirinya seperti manusia baru. Rohaninya segar dan bertenaga walaupun pada hakikatnya ujian yang melanda amat menyentuh hati. Nia tenang di tepi pusara. Wajah sedih dan gembira Liza datang silih berganti...tapi itu cuma kenangan Nia, namun di sebalik kenangan itu tersembunyi seribu hikmah. “Hakikat kehidupan itu adalah kematian dan setiap yang bernyawa itu pasti merasai kematian”. Ustaz Abd Nasir mengulas ayat Al Quran berkaitan dengan kematian 3 bulan yang lepas. Di sinilah punca segala-galanya di mana Liza beria-ia ingin membuat surat wasiat, sedang Nia sering menafikan yang dia akan kehilangan Liza yang sememangnya telah lama mengidap kanser tulang. Semenjak itu rajuk Nia berpanjangan dan perasaan marah menguasai diri. Namun hakikatnya kini Liza telah tiada. Nia memeluk erat Ibu Salmiah yang berada di tepinya. Berkali-kali Ibu menyabar dan menenangkan Nia. Berkali-kali ciuman ibu singgah ke pipi Nia. Nia terharu. Nia yakin Liza pergi bersama kemaafan dan tenang di sana. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment