RSS

KEIKHLASAN DALAM BERAMAL

Keikhlasan bukan suatu bentuk amal tetapi sesuatu yang perlu untuk amal itu diterima. Ini bermakna dalam menjayakan sesuatu amal maka kita perlu melihat samada keikhlasan wujud bersama atau tidak. Keikhlasan lebih payah/berat daripada melakukan amal itu sendiri. Tanpa keikhlasan dalam beramal, maka amal akan terbang seperti debu-debu yang berterbangan. Tiada nilai disisi Allah dan tidak diterima sama sekali.

Sebagai contoh: Seseorang berpuasa sunat. Berpuasa secara fizikal itu mudah. Namun berpuasa ikhlas semata-mata kerana Allah itu adalah sukar. Berpuasa dengan niat lain seperti ingin kurus, menjaga kesihatan, menjimatkan belanja boleh meragukan keikhlasan sipelakunya. Maka berhati-hatilah dalam beramal, takut-takut amal kita tidak diterima.

Rasulullah saw pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak menerima suatu amalan kecuali yang dikerjakan dengan ikhlas dan diharapkan untuk meraih redhaNya.” (HR. An-Nasa’i)

Takutlah kita dengan ancaman Allah swt, bahawa seseorang bakal dihimpunkan dengan apa yang disekutukannya dalam api neraka kelak. Rasullah saw bersabda lagi: “Allah swt berfirman, ‘Aku zat yang paling tidak memerlukan sekutu. Barangsiapa melakukan suatu amalan dan menyekutukan Aku dengan selain-Ku, Aku akan meninggalkannya bersama sekutunya.” (HR. Muslim)

Keikhlasan perlu kepada proses demi proses untuk mendapatkanya. Keikhlasan boleh teruji dengan pelbagai cara. Mungkin pada awalnya kita melakukan amalan tersebut dimulai dengan niat yang betul penuh keikhlasan kepada Allah swt. Namun kepayahan atau kemudahan dalam melalui amalan tersebut boleh menguji keikhlasan seseorang. Sebagai contoh: Seseorang telah berusaha dan berjaya melakukan perubahan dalam membentuk suasana yang lebih islami di tempat kerjanya. Dia dipuji oleh majikannya sehingga dianugerahkan pekerja terbaik. Maka situasi ini sebenarnya boleh menggugat keikhlasannya. Pujian dan pengiktirafan boleh menimbulkan riya’ yang boleh merosakkan keihklasan.

Akhir sekali, marilahlah kita merenung bersama kata-kata ulama’ yang berikut “Ikhlas adalah kondisi ketika seseorang memandang sama antara pujian dan cercaan, antara kesendirian dan keramaian. Ia beramal hanya untuk meraih redha Allah dan didorong oleh kecintaan kepada Allah. Kerananya, ia sentiasa diiringi taufik dan inayah dari Allah, sehingga dapat melakukan berbagai amal kebaikan secara kesinambungan” (Waqfah Tarbawiyah:10)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment